Bersama IRFAN FONER
Buat julung kalinya, kami mengeluarkan artikel wawancara bersama mereka yang tidak henti memberi kebaikan di media sosial. Sesi ‘Take 5!’ ini boleh dikatakan menjadikan platform untuk menyokong usaha mereka dalam menyebarkan perkongsian media sosial berdasarkan niche masing-masing.
Wawancara pertama dimulakan bersama pengasas Siri Bestnya iaitu Tuan Irfan Foner. Buat yang baru nak mengenali pengasas dan tertanya-tanya tentang perkembangan Siri Bestnya, bolehlah ikuti wawancara lima soalan ini.
Soalan 1 : Boleh tuan perkenalkan secara ringkas latar belakang diri, jawatan serta serba sedikit cerita berkenaan kerja yang dilakukan sekarang?

Hai, Assalamualaikum! Saya Irfan Foner, saya adalah pengasas bersama Siri Bestnya. Saya juga concept visualizer dan penunjuk arah ke mana perginya Siri Bestnya ini. Kerja-kerja bangunkan konsep, produk, merchandise, pemasaran, bajet dan lain-lain itu kerja sayalah. Haha.
Selain Siri Bestnya, saya juga menyediakan servis seumpama ini dengan klien. Cuma tahun 2021 ini, insyaAllah saya akan banyak mengfokuskan pada penerbitan konten dan produk Siri Bestnya!
Soalan 2 : Wah! Menarik. Teringin juga nak tahu apakah pengalaman tuan sebelum wujudkan Siri Bestnya?
Sebelum Siri Bestnya, saya memang bergerak freelance (sekarang pun masih freelance). Saya buat servis menghasilkan konsep, design, visual grafik, komik dan ilustrasi untuk pelbagai bidang klien seperti syarikat penerbitan, latihan, sekolah, tadika, restoran dan syarikat-syarikat korporat seperti hospital dan penerbangan.

Sebelum itu lagi saya memang ada pengalaman menghasilkan komik bermula tahun 2009, bermakna sudah lebih 10 tahun saya dalam bidang ini. Kemudian setiap tahun saya akan hasilkan komik-komik baharu, sama ada secara penerbitan sejilid, penerbitan antologi, menguruskan penerbitan komik orang lain dan macam-macam bentuk.
Saya pernah mengusahakan beberapa ‘start-up’ sebelum ini dalam bidang komik dan ilustrasi, cuma setiap fasa perusahaan itu saya anggap sebagai tempoh belajar saya. Banyak kegagalan yang saya hadapi saya anggap satu pengalaman berharga atas keputusan-keputusan bodoh yang saya jadikan panduan untuk bisnes saya pada hari ini.
Dah tentu, perusahaan saya hari ini juga adalah sebagai pengalaman untuk panduan diri saya 10-20 tahun akan datang!
Siri Bestnya adalah ditubuhkan oleh Orhan dan Irfan Foner pada bulan September 2019 secara rasminya apabila kami menerbitkan buku pertama kerjasama kami iaitu Bestnya Solat!
Bermula dari situ, kami berjaya menghasilkan jualan selepas pelancarannya sebanyak 1000 naskhah dalam tempoh dua bulan. Satu angka yang bagi saya bagus sebagai batu loncatan. Kami cetak 3000 naskhah untuk versi cetakan kedua dan boleh dikira ‘struggle’ untuk menghabiskannya (haha!).
Saya masih ingat, beberapa bulan untuk menghabiskan naskhah-naskhah ini, kami menyertai pelbagai expo, seminar, acara graduasi dan acara-acara lain dengan cara buka booth dan buat jualan. Di tempat sejuk ber-aircond dengan lokasi booth strategik, pernah. Di bawah terik matahari tanpa khemah juga pernah! Kami pernah mendaftar untuk satu acara tiga hari dengan yuran RM 900, namun hanya dapat buat jualan RM 200 sahaja dalam acara tersebut. Bukan mengeluh, sekadar hendak berkongsi, itu rezeki kami ketika itu.
Siri Bestnya pada asalnya adalah satu bentuk bisnes sampingan dan juga sebagai batu loncatan untuk Irfan Foner bermula semula dalam bidang penerbitan komik, setelah kali terakhir buku solo yang saya hasilkan adalah sekitar tahun 2012. Tahun 2020, kami menerima banyak tawaran kolaborasi dengan pengedar-pengedar buku yang berminat mengedarkan buku-buku Siri Bestnya.
Bermula tahun 2021 insyaAllah, kami meletakkan sasaran untuk menerbitkan sekurang-kurangnya 10 judul komik di bawah jenama ini. Doa-doakan!
Soalan 3 : Memandangkan Siri Bestnya berjalan secara digital sepenuhnya ; tanpa pejabat, tiada kakitangan, tiada komitmen bayaran utiliti besar. Persoalannya, bagaimana proses penyimpanan stok dan pengeposan dan pemasaran dijalankan?
Siri Bestnya ketika ini bergerak secara remote. Setiap ahli dalam tim Siri Bestnya masing-masing bekerja dari rumah. Macam saya, bekerja dari Gombak. Ada yang di Melaka, KL dan di Kyoto, Jepun. Beliau orang Malaysia yang sambung belajar di Jepun. Tim yang saya sebutkan ini bukan staf bergaji, tetapi adalah Freelancer yang bergerak secara kontrak, namun saya layan sama seperti saya mempunyai staf sendiri.
Jadi apabila tiada pejabat khusus, banyak kos dapat dijimatkan. Stok buku saya simpan di rumah. Kami uruskan sendiri pembungkusan dan penghantaran. Memandangkan kami baru hanya ada dua produk dan jumlah cetakan setiap batch sekadar beberapa ribu, jadi kami tak memerlukan stor penyimpanan yang besar.

Dari segi pemasaran, kami lakukan secara digital. Saya ada gunakan ads untuk sebaran lebih meluas, dan tim kami menggerakkan kempen di media sosial, emel dan artikel web. Saya sendiri memantau hasil kerja mereka dan fokus pada pembangunan produk dan konten untuk jualan. Semuanya secara online sahaja.
Soalan 4 : Semua followers pasti sudah maklum bahawa setakat ini sudah terbit dua buah Siri Bestnya iaitu Bestnya Solat dan Bestnya Doa. Boleh Tuan Irfan kongsikan sedikit, berapa lama proses penerbitan dua buah buku ini dan apa konsep yang ingin di ketengahkan?
Kedua-dua buku Bestnya Solat dan Bestnya Doa mengambil masa dalam tempoh sebulan untuk disiapkan. Kedua-dua buku ini hanya 32 halaman, jadi boleh dikira agak cepat ia dapat disiapkan. Komik-komik ini saya boleh katakan hampir 100% ia dihasilkan dengan teknik vektor, iaitu satu bentuk lukisan yang dihasilkan dengan komputer dan tidak pecah apabila dicetak.
Ini juga menjadikan saya menghasilkan komik ini hampir 100% juga menggunakan mouse tanpa melibatkan apa-apa tablet, cat warna dan pen, melainkan ketika proses melakar idea dan draf.
Pada saya, teknik ini sangat membantu dari segi memudahkan saya visualkan komik untuk kanak-kanak, yang mana ia berbeza dari ketika saya hasilkan komik sukan dan remaja dulu-dulu. Penuh garisan, bayang dan tone, yang perasaannya lebih pada ketelitian seni itu sendiri.
Untuk buku-buku Siri Bestnya, kita tampilkan minimalis dan visual yang membantu pada pemahaman ilmu dan maklumat. Kita tidak mahu ia jadi seperti buku teks, tetapi sebagai satu bentuk ‘handbook’ yang mengiringi audiens kita ketika mereka mahu mengamalkan praktikaliti dalam buku itu.
Buku-buku seterusnya dalam Siri Bestnya juga saya praktikkan konsep ini dan sampaikan pada tim pengkarya yang terlibat.

Soalan 5 : Betul itu. Buku yang nipis dan penuh ilustrasi yang bukan sahaja menarik minat kanak-kanak, ia juga menarik minat orang dewasa sebenarnya. Isi buku-buku tersebut pun ‘direct to the point’ dan senang untuk faham dan hafal. Akhir sekali, soalan mudah saja. Apa harapan Tuan Irfan dengan Siri Bestnya?
Harapan saya dengan Siri Bestnya, ia akan jadi jenama yang mempromosikan ilmu kepada orang ramai. Orang tak takut lagi untuk membaca, orang akan cipta masa untuk membaca dan belajar.
Universiti sedang tenat dengan bilangan kemasukan pelajar berkurangan, dan kasihan pada kursus-kursus yang tak popular. Antara sebab kita mewujudkan Siri Bestnya untuk mempromosikan ilmu-ilmu yang kita jarang kedengaran, dan jadikan ianya menarik orang untuk ambil tahu menggunakan komik dan infografik.
Itu sebab kita ada ‘Bestnya!’. Ia adalah frasa yang disebut apabila satu-satu pembaca teruja dengan sesuatu perkara. Dalam konteks kami, mereka teruja dengan ilmu tersebut.
Rancangan kami, pada tahun 2021 ini adalah menerbitkan sekurang-kurangnya 10 judul buku dengan pelbagai tema. Doa-doakan agar hajat ini tercapai ya!

Sampai sini dahulu sesi ‘Take 5!’ kali ini. Semoga apa yang ditulis dapat memberi sedikit sebanyak inspirasi, manfaat dan idea baru buat pembaca untuk membina langkah dalam pembuatan komik, penulisan, bisnes digital dan seumpamanya. Jumpa lagi pada sesi akan datang, insyaAllah!