Skip to main content

Cart

Bertemu kita kembali dalam siri Take 5! Kali ini tetamu kita merupakan orang yang pasti tidak asing buat pembaca dan pengikut Siri Bestnya. Kerap menulis dan berkongsi video tentang parenting di media sosialnya dan juga berkolaborasi bersama Siri Bestnya dalam menghasilkan buku baharu yang akan terbit tak lama lagi. Ada 5 soalan diberikan untuk anda mengenalinya dengan lebih dekat. Ikuti temuramah kali ini untuk ketahui siapakah gerangannya.

Soalan 1 : Boleh Puan memperkenalkan diri sedikit tentang asal-usul nama Wawa Shauqi, lahir dan membesar dimana dan juga latar belakang pendidikan dan kerjaya terkini?

Hai, Assalamualaikum! Nama sebenar diberi ialah Farah Najwa. Anak jati Perak. Nama Wawa dapat panggilan dari seorang ustazah lepas ramai sangat di sekolah nama Najwa dan Farah. Kerja sampingan saya buat masa sekarang adalah sebagai penulis di TheProparenting. Mendapat pendidikan dalam bidang Interior Design di UiTM.

Soalan 2 : Oh, rupanya Puan dari bidang Interior Design. Seperti yang semua orang boleh baca dan lihat, Puan Wawa sering berkongsi berkaitan keibubapaan. Ini pasti selepas menjadi ibu itu sendiri, kan? Boleh Puan Wawa ceritakan siapa atau apa inspirasi Puan Wawa untuk terus menulis dan berkongsi di media sosial berkaitan parenting ini?

Saya terinspirasi untuk teruskan penulisan dari anak-anak dan followers sendiri. Saya merasakan bahawa mendidik anak-anak ini tidak mudah. Banyak isu yang memerlukan ilmu sahih dari pakar. Menyedari akan hal tersebut, saya giat belajar dengan pakar-pakar dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak, psikologi dan neurosains untuk mendalami anak-anak di sebalik tingkah laku dan permasalahan mereka.

Soalan 3 : Wah! Menarik. Hal ini membawa kepada soalan seterusnya. Memandangkan Puan Wawa sering aktif di media sosial, seperti yang biasa kita nampak, buli siber kerap berlaku dalam mana-mana posting, influencer pastinya tidak terkecuali. Jadi, boleh Puan kongsikan dengan kami, apakah perkara paling buruk pernah berlaku pada Puan Wawa sepanjang aktif menulis di media sosial?

Pada awalnya, apabila saya dihentam di media sosial, saya mengalami perasaan takut dan sedih. Tapi tanpa kritikan dan hentaman tersebut, saya tak mungkin belajar banyak perkara. Saya anggap ia sebagai teguran untuk memperbaiki penulisan saya supaya lebih lengkap dengan rujukan dan ayat yang lebih mesra.

Soalan 4 : Mencabar juga ya membawa edukasi dalam media sosial. Bangga dengan Puan Wawa kerana tidak mudah jatuh. Oh ya, sikit lagi akan keluarkan sebuah buku berkolaborasi dengan Siri Bestnya, kan? Teruja menunggu naskah terbitan itu keluar. Bagi Puan Wawa, adakah ini pencapaian yang paling ditunggu-tunggu sepanjang aktif membina personal branding ataupun ada gol yang lebih tinggi nak dicapai?

Saya teruja menantikan kehadiran buku ni, memandangkan ia datang dari kolaborasi hasil kerja mereka yang hebat-hebat. Termasuk pereka buku ; Tuan Irfan Foner, ilustrator ; Nazr Syaff, dan penulis dialog komik, ; Khairul Khairudin. Penulisan saya dalam buku ini juga adalah hasil dari pembacaan dan pembelajaran saya dengan mereka yang pakar termasuk beberapa penulisan yang pernah viral di media sosial. Harapan saya, di masa akan datang, saya mempunyai produk sendiri, berjaya membangunkan website sendiri, serta melahirkan minima 2 buku setahun.

Buku Bestnya Parenting yang mengandungi penulisan Puan Wawa Shauqi dan juga komik karya Nazr Syaff dan Khairul Khairudin

Soalan 5 : Semoga tercapai hasrat itu. Soalan akhir. Susah tak untuk hasilkan sebuah buku? Berapa lama dah simpan idea, kemudian realisasikan idea sehingga siap sepenuhnya penulisan untuk buku akan datang ini?

Kebiasaan setiap penulisan di media sosial, ada yang mengambil masa beberapa hari untuk dikaji isinya. Malah ada yang melibatkan ratusan ringgit untuk setiap penulisan. Apabila diterjemah ke dalam penulisan buku, ia perlu digarap lebih praktikal untuk pembaca, supaya ia benar-benar membantu mereka yang berdepan dengan pelbagai isu dengan anak-anak. Sejujurnya, mencari waktu menulis sambil perlu menjadi tukang masak, tukang sapu, cikgu dan tukang asuh anak-anak ini mencabar dari segi tenaga dan masa. Jadi, banyak masa rehat dan tidur yang perlu dikorbankan.

Bagaimanapun, insya Allah, demi manfaat buat pembaca, saya pasti ianya berbaloi untuk dimiliki.

Terima kasih khas ditujukan kepada Puan Wawa Shauqi atas usaha murni untuk terlibat dengan aktif dalam mendidik ibubapa dan bakal-bakal ibubapa diluar sana. Ianya bukan perkara yang mudah, tapi saya yakin Puan Wawa sudah biasa dengan rencah aktif di media sosial. Alah bisa tegal biasa bak kata pepatah melayu. Semoga ganjaran yang lebih baik menanti Puan Wawa di dunia dan juga di akhirat sana kelak.

Follow Puan Wawa di Facebook

Siapa agaknya tetamu jemputan Take 5! minggu depan ya? Nantikan..

Baca Artikel Take 5! yang lalu:

Take 5: Wawancara KOMIK INOVASI PENDIDIKAN bersama IRFAN FONER

Leave a Reply