Posted on Leave a comment

Inspirasi untuk meninggalkan sifat marah yang teruk

Hari ini saya marah. Sedang saya duduk diam di beranda melayan perasaan sakit hati itu, saya mula teringat satu kisah yang cukup rapat dengan perasaan hari ini. Cerita yang pernah saya baca dulu-dulu.

Seorang kanak-kanak bernama Afif ini mempunyai personaliti pemarah. Senang sangat nak marah walaupun hanya sebab kecil seperti terjatuh basikal akibat kelalaian sendiri. Habis semua orang dimarahnya dengan kata-kata kurang sopan, habis juga pasu ibunya di luar pagar dipecahkannya.

Satu hari, ayah Afif cuba mencari cara untuk mengurangkan rasa marah anaknya. Ayah Afif memberikan penukul, paku dan kayu yang tebal kepadanya. Ayah Afif pesan, “kalau kamu mula rasa nak marah, ketuklah paku ini keatas kayu yang tebal ini.”

Afif pun mencuba setiap kali dia nak marah. Keras. Kayu yang tebal itu agak sukar untuk dipaku, ia memerlukan tenaga yang banyak.

Hari silih berganti, Ayah Afif mula perasan paku di atas kayu keras itu kurang berbanding hari yang telah berlalu. Atas usaha Afif mengurangkan marah, ayah memberi peluang untuknya mencabut satu paku jika dia tidak marah pada hari itu.

Lama kelamaan, sudah tiada pun paku di atas kayu itu. Ayah memuji Afif, “bagus, akhirnya kamu berjaya menahan dari marah,” dan ayah sambung dengan pesanan “tetapi lihat, walaupun paku-paku itu sudah dicabut, kayu tersebut masih meninggalkan kesan lubang akibat dari paku tadi.”

“Begitulah dengan sifat marah kamu. Bila kamu marah, kata-kata dan perbuatan kamu yang mungkin telah menyakitkan hati orang lain, tidak mungkin akan kembali kepada asal. Orang sudah terluka.” Tambahnya lagi, “marah itu memerlukan tenaga yang lebih. Tengok dahi kamu berkerut menahan marah, mulut kamu tak henti-henti mengomel ketidakpuashatian, tangan dan kaki kamu pun sudah penat memukul benda-benda yang tak bersalah.”

Pesanan akhir yang ditinggalkan sebelum bangun, “orang yang kuat adalah orang yang menahan diri dari marahnya.” Sabar.

Sekuat apapun kita, marah bukanlah jalan penyelesaian masalah yang baik. Boleh jadi dengan kurangnya marah, hubungan sesama manusia masih utuh dan tetap boleh bergurau mesra. Kalau orang dah terasa hati, takkan mungkin hubungan masih macam sebelum ini, kan?

Semoga mendapat inspirasi untuk kurangkan marah dan mengawal rasa marah dari cerita pendek ini. Orang tua dulu-dulu pun ada berpesan, “jangan selalu marah-marah, nanti cepat tua”. Hehehe.

Nantikan kemunculan dua buku ini!

Posted on Leave a comment

Lima Resolusi Tahun Baru untuk Keluarga Lebih Bahagia

Bersempena dengan dua buah buku yang akan terbit dari Siri Bestnya iaitu buku Bestnya Inspirasi dan Bestnya Parenting, kami ingin kongsikan Lima (5) Resolusi Tahun Baru untuk Keluarga Lebih Bahagia.

Menurut page MommaBe, sebuah laman sesawang dari Wilmington yang memberi inspirasi dan sokongan kepada kaum ibu dalam melayari perjalanan menjadi ibu, ini antara resolusi yang boleh digunapakai untuk menjadikan keluarga lebih gembira sepanjang tahun baru.

1. Jadikan kerja rumah lebih menyeronokkan

Libatkan anak-anak dengan kerja rumah. Buat mereka rasa mereka adalah sebahagian dari isi rumah. Mengemas rumah kini mungkin akan memakan masa lebih lama tapi ibubapa usah rasa tertekan, inilah masanya untuk beri peluang anak-anak bersama membina bonding. Aktiviti yang dilakukan bersama seisi keluarga boleh jadi memori indah untuk dikenang kembali satu hari nanti.

2. Kurangkan penggunaan gajet, lebihkan aktiviti bersama

Untuk ikatan yang baik, bolehlah gunakan board game seperti Monopoly, Uno dan seumpamanya. Ada banyak jenis board game di pasaran daripada yang paling mudah hinggakan yang paling sukar. Harga pun ada yang murah hinggakan yang mahal-mahal. Jika mampu, ambil kesempatan untuk lakukan aktiviti outdoor bersama seperti bersenam, mandi air terjun dan berkhemah. Pasti ia akan menjadi memori yang manis buat anak-anak.

3. Praktikkan aliran kewangan yang lebih teratur dan mula menyimpan

Mesti ibubapa semua sudah sedar tentang keperluan menyimpan wang dari apa yang berlaku tahun lepas, kan? Ada yang dibuang kerja, dipotong gaji dan seumpamanya. Jadi, mulakan tahun ini dengan mendidik anak-anak untuk menyimpan duit dalam tabung secara konsisten dan tahu manfaatnya memandangkan mereka juga semakin meningkat usia. Boleh lah belajar tentang nilai sesebuah barangan yang mahu dibeli dari hasil simpanan sendiri. Barangan pasti lebih dihargai dan tahu menilai samada ia keperluan atau kehendak.

4. Banyak membaca dari pelbagai perspektif

Bacaan dari buku fizikal pasti lebih menyeronokkan. Dapat menikmati bau buku. Selain itu, membaca bukan terhad pembacaan di media sosial sahaja bahkan manfaatkan smartphone untuk membaca isu-isu semasa dan pandangan-pandangan orang tentang sesuatu isu yang berlaku. Membaca dapat membuka minda kita memandang satu isu dari pelbagai sudut dan memahami bagaimana remaja berfikir dan kesukaan mereka. Boleh juga berikan anak kecil bahan bacaan yang bersesuaian dengan umur mereka. Biasakan aktiviti membaca sebagai rutin keluarga.

5. Memupuk keluarga melakukan kebaikan dan kebajikan

Ajar anak dan ahli keluarga untuk berbuat baik sesama seisi rumah. Bergaduh memang perkara biasa dalam keluarga, pun begitu usah jadikan ia sebagai batu penghalang untuk masih buat baik. Wujudkan sikap saling memaafkan dan tidak lama-lama bermasam muka. Ikatan adik-beradik yang baik boleh menjadikan keluarga lebih harmoni dan hormat antara satu sama lain. Luangkan masa untuk mendengar luahan dan bertukar pendapat supaya dapat memupuk sikap toleransi dalam meraikan perbezaan pendapat.

Semoga bermanfaat untuk dipraktikkan pada tahun baru anda bersama keluarga tercinta. Selamat tahun baru!

Rujukan : https://pin.it/qpPGL0L

MommaBe[dot]com adalah sebuah laman web yang bercerita khusus tentang kehamilan, perkembangan kandungan dan bayi, keibubapaan dan pemakanan. Objektif mereka adalah untuk menyediakan sumber yang boleh dipercayai mengenai hal tersebut buat ibubapa yang mencari nasihat praktikal terbaik dari ibubapa yang berpengalaman dalam pelbagai aspek. Membawa slogan ‘Moms Supporting Moms’.

#SiriBestnya #BeriManfaat

Tidak lama lagi dari Siri Bestnya! Nantikan ya!