Dalam agama, berdoa ini adalah antara tugas yang tidak asing lagi bagi setiap penganut. Bukan saja yang melibatkan hal-hal besar bahkan termasuk juga sekecil-kecil perkara. Setiap tindak-tanduk kita perlu dimulakan dengan berdoa, nak masuk tandas pun ada doa, nak makan pun ada doa dan nak keluar rumah pun ada doa. Bukanlah bermakna kita perlu menggunakan satu spesifik doa untuk satu perbuatan, Islam ada sediakan panduan untuk itu. Doa ini sebagai tanda kita mengaku kita ini hamba Allah dan sentiasa memerlukan Dia dalam menjalani hari-hari kita.
Ini antara 5 sebab mengapa doa itu satu keperluan. Mari Fateh kongsikan :
Memohon usaha kita menjadi lebih berkat

Setelah disusuli dengan niat yang baik, semestinya perlukan doa juga. Ini adalah untuk menjadikan kerja seharian kita lebih berkat dan ada nilai disisi Allah. Ini tidak termasuk perbuatan yang tidak baik ya. Contohnya nak mencuri tetapi dimulakan dengan basmalah. Niat tak menghalalkan cara.
Merupakan jalan untuk mendapat keampunan dari Allah

Mari berdoa minta diampunkan dari dosa hari ini, mungkin banyak gaduh adik beradik atau tak dengar cakap ibu ayah dan sebagainya. Sekurang-kurangnya selepas setiap kali solat supaya lebih tenang. Bukan saja minta ampun pada Allah, perlu juga memohon maaf dengan manusia yang kamu buat salah kepadanya supaya dapat jaga hubungan baik sesama manusia yang juga dituntut dalam agama.
Menjadikan kita hamba yang tidak ego

Malah, menjadi rendah diri dalam meminta daripada Allah. Itu juga menunjukkan kebergantungan kita hanya pada Allah. Tidaklah kita pergi meminta pada makhluk lain kerana kita yakin Allah itu yang maha segala-galanya, Dia mendengar doa kita walaupun terkadang kita cuma berdoa di saat sedih semata-mata.
Menjadikan kita hamba yang berlapang dada

Berdoa juga akan membuatkan hati kita lebih lembut dalam menerima qada & qadar Allah yang dipanggil takdir. Dalam berusaha mencari rezeki pun kita akan mulakan dengan doa yang baik-baik. Contoh jika hari ini kita mula berniaga tepi jalan, doalah kepada Allah dan berserah diri kepadanya setelah buat usaha seperti mempromosikan perniagaan kita, buat bersungguh-sungguh dalam menyediakan servis terbaik. Jika hari ini dapat kurang, percaya rezeki kita setakat itu dan usaha lebih baik dimasa akan datang.
Mengekalkan hubungan dengan Yang Maha Esa

Kita bukan sahaja perlu menjaga hubungan sesama manusia, bahkan perlu juga menjaga hubungan dengan Allah supaya kita sentiasa merasa dekat dengan Allah dan menaruh harapan kepadaNya. Allah tak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan Allah.
Jadi, dah doa hari ini? Selamat beramal.
Rujukan : Bagaimana Mendapatkan Doa Mustajab

Mahu ajar anak-anak bersolat dan berdoa? Mari ikut Fateh untuk tinjau buku Bestnya Solat dan Bestnya Doa melalui pilihan di bawah: