Hari ini saya marah. Sedang saya duduk diam di beranda melayan perasaan sakit hati itu, saya mula teringat satu kisah yang cukup rapat dengan perasaan hari ini. Cerita yang pernah saya baca dulu-dulu.
Seorang kanak-kanak bernama Afif ini mempunyai personaliti pemarah. Senang sangat nak marah walaupun hanya sebab kecil seperti terjatuh basikal akibat kelalaian sendiri. Habis semua orang dimarahnya dengan kata-kata kurang sopan, habis juga pasu ibunya di luar pagar dipecahkannya.
Satu hari, ayah Afif cuba mencari cara untuk mengurangkan rasa marah anaknya. Ayah Afif memberikan penukul, paku dan kayu yang tebal kepadanya. Ayah Afif pesan, “kalau kamu mula rasa nak marah, ketuklah paku ini keatas kayu yang tebal ini.”
Afif pun mencuba setiap kali dia nak marah. Keras. Kayu yang tebal itu agak sukar untuk dipaku, ia memerlukan tenaga yang banyak.
Hari silih berganti, Ayah Afif mula perasan paku di atas kayu keras itu kurang berbanding hari yang telah berlalu. Atas usaha Afif mengurangkan marah, ayah memberi peluang untuknya mencabut satu paku jika dia tidak marah pada hari itu.
Lama kelamaan, sudah tiada pun paku di atas kayu itu. Ayah memuji Afif, “bagus, akhirnya kamu berjaya menahan dari marah,” dan ayah sambung dengan pesanan “tetapi lihat, walaupun paku-paku itu sudah dicabut, kayu tersebut masih meninggalkan kesan lubang akibat dari paku tadi.”
“Begitulah dengan sifat marah kamu. Bila kamu marah, kata-kata dan perbuatan kamu yang mungkin telah menyakitkan hati orang lain, tidak mungkin akan kembali kepada asal. Orang sudah terluka.” Tambahnya lagi, “marah itu memerlukan tenaga yang lebih. Tengok dahi kamu berkerut menahan marah, mulut kamu tak henti-henti mengomel ketidakpuashatian, tangan dan kaki kamu pun sudah penat memukul benda-benda yang tak bersalah.”
Pesanan akhir yang ditinggalkan sebelum bangun, “orang yang kuat adalah orang yang menahan diri dari marahnya.” Sabar.
Sekuat apapun kita, marah bukanlah jalan penyelesaian masalah yang baik. Boleh jadi dengan kurangnya marah, hubungan sesama manusia masih utuh dan tetap boleh bergurau mesra. Kalau orang dah terasa hati, takkan mungkin hubungan masih macam sebelum ini, kan?
Semoga mendapat inspirasi untuk kurangkan marah dan mengawal rasa marah dari cerita pendek ini. Orang tua dulu-dulu pun ada berpesan, “jangan selalu marah-marah, nanti cepat tua”. Hehehe.
Nantikan kemunculan dua buku ini!