Posted on Leave a comment

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama SYAZMEE SAPIAN

Take 5 Komik Inovasi pendidikan bersama Syazmee Sapian

Bertemu kita kembali dalam siri Take 5! Kali ini tetamu kita merupakan orang yang pasti tidak asing buat pembaca dan pengikut Siri Bestnya. Kerap menulis tentang undang-undang syariah di media sosialnya dan juga berkolaborasi bersama Siri Bestnya dalam menghasilkan komik mingguan tentang undang-undang syariah. Mari ikuti temuramah kali ini bersama tuan SYAZMEE SAPIAN.

1) Boleh tuan perkenalkan diri dan sedikit latar belakang pendidikan dan kerjaya tuan?

Nama saya Muhammad Syazmee Bin Sapian. Anak bongsu daripada 3 orang adik beradik dan sekarang menetap di Gombak. Saya merupakan seorang anak kacukan dimana ibu saya anak kelahiran Penang, manakala ayah saya pula kelahiran Melaka.

PENDIDIKAN

Tadika : Pasti At Tawheed Selayang Baru

Sekolah rendah : Sek Kebangsaan Selayang Baru 1 dan SRA Selayang Baru

Sekolah Menengah : Sekolah Agama Menengah Rawang

Universiti :

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan

Universiti Malaya Kuala Lumpur (Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang)

UITM Shah Alam (Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan)

KERJAYA

Sebaik sahaja tamat pengajian peringkat sarjana muda, saya memulakan kerjaya di salah sebuah firma di Shah Alam sebagai Pelatih Dalam Kamar atau kebiasaannya dipanggil Chambering bagi pelajar undang-undang. Kemudian dilantik sebagai Legal Assistant di firma yang sama. Seterusnya berkhidmat pula di firma guaman yang lain di Cheras sebagai Peguam Syarie.

Apabila sudah stabil dan saya rasakan pada ketika itu sudah sampai masa untuk saya berani bergerak atas kaki sendiri, saya membuka firma guaman sendiri di Gombak pada Mac 2020. Baru buka firma terus PKP.

Alhamdulillah dengan ilmu yang diberikan mentor saya Hafiz Roslan, sehingga sekarang firma guaman masih beroperasi. Struggle itu tetap ada sama sahaja seperti bisnes-bisnes yang lain.

2) Sejak bila tuan mempunyai minat dalam dunia undang-undang? Terutama undang-undang syariah. Mungkin cerita tuan menjadi peguam syariah boleh dijadikan inspirasi buat anak muda yang mempunyai minat kearah yang sama.

Saya mula mempunyai minat untuk menjadi peguam ini sejak Tingkatan 4 selepas menyertai pertandingan Syarahan Bahasa Melayu. Ketika itu saya cuma tahu, kalau mahu jadi peguam kena pandai bercakap dan disebabkan saya memasuki pertandingan syarahan saya rasakan saya mahu menjadi seorang peguam.

Masa itu saya tidak tahu pun rupanya ada dua jenis peguam iaitu Peguam Syarie dan satu lagi Peguam Sivil. Saya cuma tahu, aku nak jadi peguam. Tamat SPM, masa mahu mengisi permohonan UPU, pilihan pertama hingga keempat semuanya saya bubuh pilihan berkaitan undang-undang. Sudah semestinya, pilihan pertama undang-undang di UIA.

Kenapa 4 sahaja pilihan? Bukan ada diberi 8 ke? Ha itulah dinamakan keyakinan. Yakin boleh dapat.

Keluar sahaja result, nah. Maaf anda tidak berjaya.

Pilihan semuanya berkaitan undang-undang sivil yang memerlukan keputusan SPM yang baik dalam Bahasa Inggeris. Kita ni dapat cincau memang tak dapek la. Putus asa juga dan masa itu rasakan sudah tidak ada harapan untuk menjadi peguam.

Kemudian bertanya beberapa orang senior, ada yang menyarankan untuk mengambil syariah di Universiti Malaya. Katanya tamat sahaja asasi syariah nanti, sewaktu sarjana muda boleh memilih jurusan undang-undang.

Ternyata berhasil ikut panduan senior berkenaan.

Saya ikut proses pembelajaran dan masa 4 tahun sarjana muda saya hanya mahu jadi seorang peguam. Minat mendalam untuk menjadi Peguam Syarie bermula bila praktikal di firma guaman.

Terjun dalam realiti rasa seronok bila melihat peguam-peguam syarie membantu menyelesaikan pertikaian pihak-pihak. Sehingga hari ini, setiap hari minat untuk menjadi Peguam Syarie itu semakin bertambah.

3) Buat yang mengikuti karya tuan kolaborasi dalam ‘Bestnya Undang-Undang Syariah’, pasti teruja menunggu update terbaru setiap minggu. Tuan juga pasti mempunyai motivasi yang tinggi dalam melaksanakan konten ini. Soalan kami, mengapa tuan sangat komited dalam mengetengahkan isu ini di media sosial?

Selain daripada pejabat, mahkamah adalah tempat kedua yang hampir setiap hari saya akan pergi. Di situ saya lihat bagi orang awam yang membawa kes sendiri tanpa peguam, ada banyak kelompangan dan ketidak fahaman pada kes mereka sendiri.

Saya ingin bantu banyak orang tapi saya mempunyai kapasiti kemampuan yang terhad. Jadi saya merasakan jika saya tidak mampu membantu membawa kes-kes mereka, saya perlu ikhtiar untuk bantu dari aspek lain.

Saya lihat peguam-peguam yang lain sudah banyak memulakan usaha menulis dan berkongsi tentang hal ehwal perundangan baik sivil mahupun syariah di social media. Tambah pula dengan pandemic Covid-19 yang melanda seluruh Negara sekaligus merubah landskap kearah semua perkara secara maya ataupun digital.

Dari sinilah saya nekad untuk mulakan perkongsian-perkongsian undang-undang dengan penyampaian yang memudahkan orang awam faham dan terus boleh praktis dalam kes ataupun permasalahan mereka.

4) Apa jua kerjaya pasti tak lari dengan cabaran dan halangan, sama juga seperti tuan. Sudahlah sibuk dengan kerjaya hakiki, mahu meneladani hal ehwal media sosial pula. Apakah cabaran terbesar tuan sepanjang karier tuan sebagai peguam syariah?

Cabaran bidang guaman ini banyak dan antara sebab saya minat bidang guaman ini kerana bidang ini memang challenging. Mengendalikan kehendak klien yang pelbagai karenah pun adakalanya mencabar tahap kesabaran apatah lagi bilamana berhubung dengan pihak lawan yang menduga keimanan.

Cabaran terbesar bagi diri saya adalah berhadapan dengan pihak lawan yang menggunakan ilmu-ilmu mistik. Saya pun tidak menjangkakan perkara ini. Sebelum ini hanya dengar cerita-cerita dari peguam senior sahaja. Tapi bila sendiri terkena, fuh memang sangat-sangat merana.

Kita ke mahkamah dengan dengan akta dan enakmen, ada orang ke mahkamah dengan benda-benda tahyul. Namun dengan sokongan keluarga, staff dan rakan-rakan sekeliling Alhamdulillah dengan izin Allah boleh ditangani. Kita perlu yakin dan percaya bahawa tidak ada yang boleh memudhratkan kita melainkan dengan izin Allah.

5) Soalan terakhir mudah saja. Buat yang baru nak ikuti tuan, medium mana satu yang menjadi pilihan tuan? Mana tahu, ada yang mahu berinteraksi dengan tuan dan team untuk perkhidmatan berkaitan perundangan syariah.

Saya lebih gemar dan aktif membuat perkongsian di laman FB saya iaitu Syazmee Sapian.  Selain itu juga boleh juga ikuti aktiviti firma saya di FB PAGE Syazmee Sapian & Associates.

Sekian dahulu untuk TAKE 5! kali ini. Terima kasih kerana membaca. Tunggu tetamu jemputan untuk minggu hadapan pula ya.

Baca sesi Take 5! yang lain di sini:

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama Pelukis Tempatan, NAW LABQI

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama WAWA SHAUQI

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama IRFAN FONER

Ikuti FB Siri Bestnya untuk membaca KOMIK INOVASI PENDIDIKAN setiap minggu

Posted on Leave a comment

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama pelukis tempatan, NAW LABQI

Poster sesi take 5! bersama Naw Labqi

TAKE 5 minggu ini bersama pelukis komik, Tuan Naw Labqi!

Tuan Naw Labqi atau nama asalnya Wan Iqbal merupakan seorang pelukis komik dan kini sedang giat menguruskan jualan buku-buku di bawah Syarikat Daie Kreatif Venture. Beliau juga ada menghasilkan komik Startup 10 Ringgit berkisar tentang bisnes dan juga menjadi kaleris untuk komik Serius-Lah kolaborasi bersama pelukis lain. Mari kita ikuti wawancara bersama beliau.

Soalan 1 : Boleh tuan perkenalkan diri dan sedikit latar belakang pendidikan dan kerjaya tuan? Mungkin boleh ceritakan asal nama Naw Labqi juga.

Latar belakang pendidikan saya:

Sek Rendah Kebangsaan Wangsa Jaya dan Wangsa Maju
Sekolah Menengah >> Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Perlis
Diploma >> Koleh Teknologi DarulNaim (KTD) di Kelantan. Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan)
Sarjana Muda >> Uitm Shah Alam. Sarjana Muda Seni Bina

Kerjaya:

Pernah menjadi freelanser di IR Creative (Irfan Foner). Tapi dah tutup. Setelah itu, sampai sekarang saya menjadi Pengurus Jualan untuk Syarikat Daie Kreatif Venture (DKV). Syarikat penerbitan dan jualan komik dakwah.

Mana datangnya nama Naw Labqi:

Saya sudah biasa dengan membuat nama samaran dan nama ini sebenarnya diinspirasikan oleh seorang rakan di sekolah menengah dulu. Dia pernah tulis sajak di surat khabar. Sajak pasal sekolah Matri. Dia letak nama dia Labqi Sirah. Nama sebenar dia Haris Iqbal. Jadi saya masa baru berkecimpung menjadi warga FB, saya letaklah Naw Labqi mewakili Wan Iqbal. Adalah niat untuk jadi anynomous di suatu ketika dahulu. Sekarang ni, tiada niat sebegitu. Tapi masih megekalkan nama tu, kerana nampak cool. Jadi guna sampai sekarang. Jadikan terus sebagai nama pena pelukis.

“Man is least himself when he talks in his own person. Give him a mask, and he will tell you the truth.”

Basically, saya tetap guna nama sebenar saya. Jadi, why not.

Soalan 2 : Buat yang mengenali tuan, pasti sudah maklum tuan adalah pelukis komik. Tuan aktif mengendalikan page ‘Naw Labqi and Mr IQ Arts’. Soalan saya, siapakah Mr IQ? Bagaimana kolaborasi antara Tuan & Mr IQ bermula dan adakah masih kekal bersama sehingga kini?

Disclaimer.. sebenarnya saya jarang aktif page tersebut. Dah lama tak buat komik untuk page tersebut dek kesibukan menguruskan DKV. Adapun saya akui atas kelemahan pengurusan masa saya. Tapi di IG page, banyak aktif di IG story page sahaja.

Siapakah MR IQ?

Beliau adalah rakan saya, semenjak zaman blogger lagi. Kami macam kembar. Dia banyak membuat penulisan dan juga memberi idea untuk dikomikkan oleh saya. Di page, saya je lah yang pegang. Dia sekadar memberi idea-idea komik sahaja. Semenjak kami sudah tidak berblog, dia banyak menyepi. Namun masih memberi idea. Cumanya saya je lah yang tak mampu nak melukis. Dia mahu kekal menjadi Anonymous. Jadi dia tak aktif dalam media sosial. Dia selalu mengabaikan sahaja pertanyaan-pertanyaan mengenai siapa beliau yang sebenar. Jadi saya menghormati pendiriannya.

Bagaimana Kolaborasi ini bermula?

Ia bermula semasa saya belajar di UITM. Kami decide sama-sama buat blog. Tapi dibawah satu nama pena, iaitu Mr IQ.
Nama blog kami ialah Kata-Kata Tak Terkata (dah bersawang). Tak perlu cek la. Hahaha. Sebab ada sebahagian penulisan kami, kami dah update fikrah kami dengan pelbagai pelbagai ilmu semasa. Kebanyakkan penulisan adalah dari Mr IQ.

Ya, kami masih berkolaborasi. Tapi page IG dan FB, saya yang selalu handle. Dia masih lagi memberi idea.

Soalan 3 : Pasti yang mengikuti Tuan di Facebook peribadi maklum, Tuan bukan sahaja melukis, tuan juga menjual produk komik melalui medium Shopee. Kadang-kadang tuan buat juga Live sambil melukis. Soalan saya, apakah motivasi tuan untuk terus berkarya walaupun sibuk menguruskan jualan buku setiap hari?

Motivasi untuk terus berkarya

Pada awalnya, kami sememangnya mahu berdakwah kepada masyarakat dengan cara kami melalui komik dan penulisan. Sebagai lepasan sekolah agama yang menekankan dakwah dan tarbiah. Itulah menjadikan kami untuk terus mencari ruang dan peluang untuk berdakwah. Kami berdua introvert yang tidak pandai berkata-kata. Jadi kami guna cara lain, untuk mengekpresikan dakwah kami.

Motivasi asal kami, mahu berdakwah. Kerana itulah kewajiban setiap yang bernama muslim. Namun adakalanya, kami buat kerana sudah terbiasa buat. Bukan sebab niat awal. Jadi kena selalu tajdid niat. Muhasabah.

Sebagai manusia yang mempunyai pelbagai keaiban. kami mahu komik-komik kami menjadi saham akhirat untuk diri kami. Menjadi batu nisan yang bermanfaat buat masyarakat, apabila kami mati nanti. Menjadi bekalan pahala yang berterusan, setiap kali orang membacanya dan terkesan. Itulah motivasi kami untuk terus berkarya. Walaupun agak sibuk, kami buat sahaja yang mana mampu dahulu. Kalau boleh kolab dengan orang lain, pun okay.

Soalan 4 : Betul tu! Pasti kita mahu penulisan dan hasil kita akhirnya memberi manfaat kepada semua orang, tak kira semasa kita hidup dan sudah meninggal dunia. Seterusnya, apakah cabaran menjadi pelukis dan juga menjual komik pada masa yang sama? Bagaimana tuan berhadapan dengan cabaran ini?

Menjadi seorang pelukis merupakah salah satu cita-cita saya semasa kecil. Menjadi usahawan pun adalah salah satu cita-cita saya. Jadi kedua-duanya adalah apa yang saya mahukan. Menjadi pengurus jualan komik dakwah adalah sangat bertepatan dengan kedua cita-cita saya. Memang saya mahu komik dakwah menjadi alternatif hiburan untuk kanak-kanak remaja muslim sekarang ini.

Kerja saya ini saya anggap sebagai menyambung lidah dakwah. Atau penyampai surat. Walaupun bukan komik saya, ia adalah komik dakwah. Jika saya jual. Saya bungkus. Saya uruskan stok. Semua itu akan dapat pahala. jika pembaca mendapat manfaat. Kalau kita tak bersungguh jual komik dakwah ni, pelukis-pelukis komik lagha dan maksiat akan terus menguasai media sosial dan menjadi bacaan mainstream.

Bagaimana saya berhadapan cabaran untuk handle kedua-dua nya?
Actually, saya tak tahu. Sebab saya bukan seperti Irfan Foner. Saya tiada ilmu bisnes. Namun saya buat apa sahaja yang boleh. Asalkan ia terus bertahan. Kebanyakkan masa saya tidak melukis. Jika ada peluang. hari-hari yang tiada pengeposan atau hari-hari yang tiada sale; saya akan melukis. Namun jika saya betul-betul tak dapat lukis dan komik tersebut melibatkan isu semasa, yang perlu disiapkan segera. saya akan berkolaborasi dengan pelukis lain. Mungkin itu jawapan yang sesuai untuk soalan ni.

Soalan 5 : Wah! Menarik ni. InshaAllah, mana tahu, boleh berkerjasama dengan Siri Bestnya kelak. Tuan pernah menghasilkan buku sendiri? Kongsilah dengan kami buku tersebut dan harapan untuk buku akan datang.

Komik pertama yang ada nama saya ialah dalam buku Startup 10 Ringgit, komik pasal bisnes. Saya hanya menjadi kaleris untuk komik tersebut. Komik kedua adalah komik solo. yang diterbitkan oleh Daie Kreatif venture. Nipis je. Tajuknya Happiness is. Komik simple dan ringan mengenai kehidupan kekeluargaan dan komik yang paling terbaru adalah komik Seriuslah. Saya hanya menjadi kaleris. Kolaborasi dengan Imanimex.

Sekian dahulu untuk TAKE 5! kali ini. Terima kasih kerana membaca. Tunggu tetamu jemputan untuk minggu hadapan pula ya.

Baca sesi Take 5 yang lain di sini:

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama IRFAN FONER

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama WAWA SHAUQI

Posted on Leave a comment

Take 5: Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama WAWA SHAUQI

Poster gambar puan Wawa Shauqi sempena Wawancara di Siri Bestnya

Bertemu kita kembali dalam siri Take 5! Kali ini tetamu kita merupakan orang yang pasti tidak asing buat pembaca dan pengikut Siri Bestnya. Kerap menulis dan berkongsi video tentang parenting di media sosialnya dan juga berkolaborasi bersama Siri Bestnya dalam menghasilkan buku baharu yang akan terbit tak lama lagi. Ada 5 soalan diberikan untuk anda mengenalinya dengan lebih dekat. Ikuti temuramah kali ini untuk ketahui siapakah gerangannya.

Soalan 1 : Boleh Puan memperkenalkan diri sedikit tentang asal-usul nama Wawa Shauqi, lahir dan membesar dimana dan juga latar belakang pendidikan dan kerjaya terkini?

Hai, Assalamualaikum! Nama sebenar diberi ialah Farah Najwa. Anak jati Perak. Nama Wawa dapat panggilan dari seorang ustazah lepas ramai sangat di sekolah nama Najwa dan Farah. Kerja sampingan saya buat masa sekarang adalah sebagai penulis di TheProparenting. Mendapat pendidikan dalam bidang Interior Design di UiTM.

Soalan 2 : Oh, rupanya Puan dari bidang Interior Design. Seperti yang semua orang boleh baca dan lihat, Puan Wawa sering berkongsi berkaitan keibubapaan. Ini pasti selepas menjadi ibu itu sendiri, kan? Boleh Puan Wawa ceritakan siapa atau apa inspirasi Puan Wawa untuk terus menulis dan berkongsi di media sosial berkaitan parenting ini?

Saya terinspirasi untuk teruskan penulisan dari anak-anak dan followers sendiri. Saya merasakan bahawa mendidik anak-anak ini tidak mudah. Banyak isu yang memerlukan ilmu sahih dari pakar. Menyedari akan hal tersebut, saya giat belajar dengan pakar-pakar dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak, psikologi dan neurosains untuk mendalami anak-anak di sebalik tingkah laku dan permasalahan mereka.

Soalan 3 : Wah! Menarik. Hal ini membawa kepada soalan seterusnya. Memandangkan Puan Wawa sering aktif di media sosial, seperti yang biasa kita nampak, buli siber kerap berlaku dalam mana-mana posting, influencer pastinya tidak terkecuali. Jadi, boleh Puan kongsikan dengan kami, apakah perkara paling buruk pernah berlaku pada Puan Wawa sepanjang aktif menulis di media sosial?

Pada awalnya, apabila saya dihentam di media sosial, saya mengalami perasaan takut dan sedih. Tapi tanpa kritikan dan hentaman tersebut, saya tak mungkin belajar banyak perkara. Saya anggap ia sebagai teguran untuk memperbaiki penulisan saya supaya lebih lengkap dengan rujukan dan ayat yang lebih mesra.

Soalan 4 : Mencabar juga ya membawa edukasi dalam media sosial. Bangga dengan Puan Wawa kerana tidak mudah jatuh. Oh ya, sikit lagi akan keluarkan sebuah buku berkolaborasi dengan Siri Bestnya, kan? Teruja menunggu naskah terbitan itu keluar. Bagi Puan Wawa, adakah ini pencapaian yang paling ditunggu-tunggu sepanjang aktif membina personal branding ataupun ada gol yang lebih tinggi nak dicapai?

Saya teruja menantikan kehadiran buku ni, memandangkan ia datang dari kolaborasi hasil kerja mereka yang hebat-hebat. Termasuk pereka buku ; Tuan Irfan Foner, ilustrator ; Nazr Syaff, dan penulis dialog komik, ; Khairul Khairudin. Penulisan saya dalam buku ini juga adalah hasil dari pembacaan dan pembelajaran saya dengan mereka yang pakar termasuk beberapa penulisan yang pernah viral di media sosial. Harapan saya, di masa akan datang, saya mempunyai produk sendiri, berjaya membangunkan website sendiri, serta melahirkan minima 2 buku setahun.

Buku Bestnya Parenting yang mengandungi penulisan Puan Wawa Shauqi dan juga komik karya Nazr Syaff dan Khairul Khairudin

Soalan 5 : Semoga tercapai hasrat itu. Soalan akhir. Susah tak untuk hasilkan sebuah buku? Berapa lama dah simpan idea, kemudian realisasikan idea sehingga siap sepenuhnya penulisan untuk buku akan datang ini?

Kebiasaan setiap penulisan di media sosial, ada yang mengambil masa beberapa hari untuk dikaji isinya. Malah ada yang melibatkan ratusan ringgit untuk setiap penulisan. Apabila diterjemah ke dalam penulisan buku, ia perlu digarap lebih praktikal untuk pembaca, supaya ia benar-benar membantu mereka yang berdepan dengan pelbagai isu dengan anak-anak. Sejujurnya, mencari waktu menulis sambil perlu menjadi tukang masak, tukang sapu, cikgu dan tukang asuh anak-anak ini mencabar dari segi tenaga dan masa. Jadi, banyak masa rehat dan tidur yang perlu dikorbankan.

Bagaimanapun, insya Allah, demi manfaat buat pembaca, saya pasti ianya berbaloi untuk dimiliki.

Terima kasih khas ditujukan kepada Puan Wawa Shauqi atas usaha murni untuk terlibat dengan aktif dalam mendidik ibubapa dan bakal-bakal ibubapa diluar sana. Ianya bukan perkara yang mudah, tapi saya yakin Puan Wawa sudah biasa dengan rencah aktif di media sosial. Alah bisa tegal biasa bak kata pepatah melayu. Semoga ganjaran yang lebih baik menanti Puan Wawa di dunia dan juga di akhirat sana kelak.

Follow Puan Wawa di Facebook

Siapa agaknya tetamu jemputan Take 5! minggu depan ya? Nantikan..

Baca Artikel Take 5! yang lalu:

Take 5: Wawancara KOMIK INOVASI PENDIDIKAN bersama IRFAN FONER

Posted on Leave a comment

Take 5: Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama IRFAN FONER

Poster rasmi Wawancara bersama Irfan Foner

Bersama IRFAN FONER

Buat julung kalinya, kami mengeluarkan artikel wawancara bersama mereka yang tidak henti memberi kebaikan di media sosial. Sesi ‘Take 5!’ ini boleh dikatakan menjadikan platform untuk menyokong usaha mereka dalam menyebarkan perkongsian media sosial berdasarkan niche masing-masing.

Wawancara pertama dimulakan bersama pengasas Siri Bestnya iaitu Tuan Irfan Foner. Buat yang baru nak mengenali pengasas dan tertanya-tanya tentang perkembangan Siri Bestnya, bolehlah ikuti wawancara lima soalan ini.

Soalan 1 : Boleh tuan perkenalkan secara ringkas latar belakang diri, jawatan serta serba sedikit cerita berkenaan kerja yang dilakukan sekarang?

Hai, Assalamualaikum! Saya Irfan Foner, saya adalah pengasas bersama Siri Bestnya. Saya juga concept visualizer dan penunjuk arah ke mana perginya Siri Bestnya ini. Kerja-kerja bangunkan konsep, produk, merchandise, pemasaran, bajet dan lain-lain itu kerja sayalah. Haha.

Selain Siri Bestnya, saya juga menyediakan servis seumpama ini dengan klien. Cuma tahun 2021 ini, insyaAllah saya akan banyak mengfokuskan pada penerbitan konten dan produk Siri Bestnya!

Soalan 2 : Wah! Menarik. Teringin juga nak tahu apakah pengalaman tuan sebelum wujudkan Siri Bestnya?

Sebelum Siri Bestnya, saya memang bergerak freelance (sekarang pun masih freelance). Saya buat servis menghasilkan konsep, design, visual grafik, komik dan ilustrasi untuk pelbagai bidang klien seperti syarikat penerbitan, latihan, sekolah, tadika, restoran dan syarikat-syarikat korporat seperti hospital dan penerbangan.

Sebelum itu lagi saya memang ada pengalaman menghasilkan komik bermula tahun 2009, bermakna sudah lebih 10 tahun saya dalam bidang ini. Kemudian setiap tahun saya akan hasilkan komik-komik baharu, sama ada secara penerbitan sejilid, penerbitan antologi, menguruskan penerbitan komik orang lain dan macam-macam bentuk.

Saya pernah mengusahakan beberapa ‘start-up’ sebelum ini dalam bidang komik dan ilustrasi, cuma setiap fasa perusahaan itu saya anggap sebagai tempoh belajar saya. Banyak kegagalan yang saya hadapi saya anggap satu pengalaman berharga atas keputusan-keputusan bodoh yang saya jadikan panduan untuk bisnes saya pada hari ini.

Dah tentu, perusahaan saya hari ini juga adalah sebagai pengalaman untuk panduan diri saya 10-20 tahun akan datang!

Siri Bestnya adalah ditubuhkan oleh Orhan dan Irfan Foner pada bulan September 2019 secara rasminya apabila kami menerbitkan buku pertama kerjasama kami iaitu Bestnya Solat!

Bermula dari situ, kami berjaya menghasilkan jualan selepas pelancarannya sebanyak 1000 naskhah dalam tempoh dua bulan. Satu angka yang bagi saya bagus sebagai batu loncatan. Kami cetak 3000 naskhah untuk versi cetakan kedua dan boleh dikira ‘struggle’ untuk menghabiskannya (haha!).

Saya masih ingat, beberapa bulan untuk menghabiskan naskhah-naskhah ini, kami menyertai pelbagai expo, seminar, acara graduasi dan acara-acara lain dengan cara buka booth dan buat jualan. Di tempat sejuk ber-aircond dengan lokasi booth strategik, pernah. Di bawah terik matahari tanpa khemah juga pernah! Kami pernah mendaftar untuk satu acara tiga hari dengan yuran RM 900, namun hanya dapat buat jualan RM 200 sahaja dalam acara tersebut. Bukan mengeluh, sekadar hendak berkongsi, itu rezeki kami ketika itu.

Siri Bestnya pada asalnya adalah satu bentuk bisnes sampingan dan juga sebagai batu loncatan untuk Irfan Foner bermula semula dalam bidang penerbitan komik, setelah kali terakhir buku solo yang saya hasilkan adalah sekitar tahun 2012. Tahun 2020, kami menerima banyak tawaran kolaborasi dengan pengedar-pengedar buku yang berminat mengedarkan buku-buku Siri Bestnya.

Bermula tahun 2021 insyaAllah, kami meletakkan sasaran untuk menerbitkan sekurang-kurangnya 10 judul komik di bawah jenama ini. Doa-doakan!

Soalan 3 : Memandangkan Siri Bestnya berjalan secara digital sepenuhnya ; tanpa pejabat, tiada kakitangan, tiada komitmen bayaran utiliti besar. Persoalannya, bagaimana proses penyimpanan stok dan pengeposan dan pemasaran dijalankan?

Siri Bestnya ketika ini bergerak secara remote. Setiap ahli dalam tim Siri Bestnya masing-masing bekerja dari rumah. Macam saya, bekerja dari Gombak. Ada yang di Melaka, KL dan di Kyoto, Jepun. Beliau orang Malaysia yang sambung belajar di Jepun. Tim yang saya sebutkan ini bukan staf bergaji, tetapi adalah Freelancer yang bergerak secara kontrak, namun saya layan sama seperti saya mempunyai staf sendiri.

Jadi apabila tiada pejabat khusus, banyak kos dapat dijimatkan. Stok buku saya simpan di rumah. Kami uruskan sendiri pembungkusan dan penghantaran. Memandangkan kami baru hanya ada dua produk dan jumlah cetakan setiap batch sekadar beberapa ribu, jadi kami tak memerlukan stor penyimpanan yang besar.

Dari segi pemasaran, kami lakukan secara digital. Saya ada gunakan ads untuk sebaran lebih meluas, dan tim kami menggerakkan kempen di media sosial, emel dan artikel web. Saya sendiri memantau hasil kerja mereka dan fokus pada pembangunan produk dan konten untuk jualan. Semuanya secara online sahaja.

Soalan 4 : Semua followers pasti sudah maklum bahawa setakat ini sudah terbit dua buah Siri Bestnya iaitu Bestnya Solat dan Bestnya Doa. Boleh Tuan Irfan kongsikan sedikit, berapa lama proses penerbitan dua buah buku ini dan apa konsep yang ingin di ketengahkan?

Kedua-dua buku Bestnya Solat dan Bestnya Doa mengambil masa dalam tempoh sebulan untuk disiapkan. Kedua-dua buku ini hanya 32 halaman, jadi boleh dikira agak cepat ia dapat disiapkan. Komik-komik ini saya boleh katakan hampir 100% ia dihasilkan dengan teknik vektor, iaitu satu bentuk lukisan yang dihasilkan dengan komputer dan tidak pecah apabila dicetak.

Ini juga menjadikan saya menghasilkan komik ini hampir 100% juga menggunakan mouse tanpa melibatkan apa-apa tablet, cat warna dan pen, melainkan ketika proses melakar idea dan draf.

Pada saya, teknik ini sangat membantu dari segi memudahkan saya visualkan komik untuk kanak-kanak, yang mana ia berbeza dari ketika saya hasilkan komik sukan dan remaja dulu-dulu. Penuh garisan, bayang dan tone, yang perasaannya lebih pada ketelitian seni itu sendiri.

Untuk buku-buku Siri Bestnya, kita tampilkan minimalis dan visual yang membantu pada pemahaman ilmu dan maklumat. Kita tidak mahu ia jadi seperti buku teks, tetapi sebagai satu bentuk ‘handbook’ yang mengiringi audiens kita ketika mereka mahu mengamalkan praktikaliti dalam buku itu.

Buku-buku seterusnya dalam Siri Bestnya juga saya praktikkan konsep ini dan sampaikan pada tim pengkarya yang terlibat.

Soalan 5 : Betul itu. Buku yang nipis dan penuh ilustrasi yang bukan sahaja menarik minat kanak-kanak, ia juga menarik minat orang dewasa sebenarnya. Isi buku-buku tersebut pun ‘direct to the point’ dan senang untuk faham dan hafal. Akhir sekali, soalan mudah saja. Apa harapan Tuan Irfan dengan Siri Bestnya?

Harapan saya dengan Siri Bestnya, ia akan jadi jenama yang mempromosikan ilmu kepada orang ramai. Orang tak takut lagi untuk membaca, orang akan cipta masa untuk membaca dan belajar.

Universiti sedang tenat dengan bilangan kemasukan pelajar berkurangan, dan kasihan pada kursus-kursus yang tak popular. Antara sebab kita mewujudkan Siri Bestnya untuk mempromosikan ilmu-ilmu yang kita jarang kedengaran, dan jadikan ianya menarik orang untuk ambil tahu menggunakan komik dan infografik.

Itu sebab kita ada ‘Bestnya!’. Ia adalah frasa yang disebut apabila satu-satu pembaca teruja dengan sesuatu perkara. Dalam konteks kami, mereka teruja dengan ilmu tersebut.

Rancangan kami, pada tahun 2021 ini adalah menerbitkan sekurang-kurangnya 10 judul buku dengan pelbagai tema. Doa-doakan agar hajat ini tercapai ya!

Sampai sini dahulu sesi ‘Take 5!’ kali ini. Semoga apa yang ditulis dapat memberi sedikit sebanyak inspirasi, manfaat dan idea baru buat pembaca untuk membina langkah dalam pembuatan komik, penulisan, bisnes digital dan seumpamanya. Jumpa lagi pada sesi akan datang, insyaAllah!