Hari ini saya mahu kongsikan tentang salah faham yang berlegar dalam masyarakat tentang nafkah. Salah faham ini menurut pengalaman saya sendiri sepanjang mengendalikan kes-kes nafkah di Mahkamah Syariah.
1. Isteri yang bekerja tidak perlu dinafkahi.
Ini antara dogma yang agak famous juga digunakan oleh suami apabila isteri membuat tuntutan nafkah. Alasannya, si isteri sudah mempunyai pendapatan sendiri dan mengapa masih perlu untuk menafkahi dirinya.
Perlu diingat wahai kaum suami.
Walaupun isteri itu berkerjaya dana mempunyai pendapatan sendiri, para suami masih tetap berkewajipan menafkahi isteri tersebut. Duit isteri adalah hak mutlak isteri. Dalam duit suami, ada terselit nafkah isteri.
Tidak adil? Tiada isu ketidakadilan di sini. Jika diteliti semula pengorbanan isteri curahkan dalam rumah tangga, sudah pasti tidak akan terdetik langsung tentang ketidakadilan.
Sebagai seorang suami, sudah semestinya sebelum daripada memperisterikan seseorang bidadari itu perlu tahu dan sedar bahawa berkahwin package sekali dengan pelbagai amanah dan tanggunjawab.
2. Hak jagaan anak pada si ibu, jadi tidak perlu untuk menafkahi anak.
Salah faham ini banyak berlaku ke atas pasangan yang yang sudah bercerai. Suami enggan memberikan nafkah anak-anak berikutan hak jagaan anak diberikan kepada bekas isteri.
Kebanyakannya akan berkata, buat apa mahu bagi. Nanti bekas isteri akan gunakannya untuk diri bukannya untuk anak-anak. Pada hakikatnya yang merana siapa? Anak-anak yang tidak bersalah itu sendiri.
Ketidakcukupan nafkah boleh merencatkan proses kebajikan dan perkembangan anak-anak tersebut. Buanglah segala pemikiran negatif itu. Utamakan kebajikan anak-anak terlebih dahulu.
3. Tiada masalah sekiranya tidak menafkahi isteri.
Ha ini biasa juga berlaku. Spesis ini biasanya tahu kahwin sahaja namun tidak pandai menggalas amanah sebaik mungkin. Berkahwin, namun culas dalam menyediakan nafkah. Malah ada keadaan yang lebih teruk, isteri pula yang menanggung dirinya.
Apabila si isteri meminta nafkah dirinya, mula dimarahi dan berkata kalau tidak beri nafkah pun tidak mengapa. Nafkah batin laju tetapi nafkah zahir kecundang.
Berhati-hati ya kaum suami. Setiap nafkah yang tidak dilunaskan kepada isteri, undang-undang telah menjamin hak isteri tersebut melalui tunggakan nafkah. Ya, si isteri boleh menuntut tunggakan nafkah ke atas suami selama mana suami tersebut tidak memberikan nafkah ke atas dirinya.
Usah mengeluh para suami di luar sana jika merasa banyaknya tanggungan kita. Percaya dan yakinlah bahawa setiap nafkah yang diberikan kepada isteri dan anak-anak itu akan membukakan lebih luas pintu rezeki buat kita.
Nafkah tanggungjawab kita,
SYAZMEE SAPIAN ASSOCIATE
Komik oleh : Irfan Foner & Cik Iza
#SiriBestnya#KomikInovasiPendidikan
Follow komik Bestnya Undang-undang Syariah setiap Jumaat jam 8 malam hanya di FB Siri Bestnya!
Baca KOMIK INOVASI PENDIDIKAN yang lain di sini:
Bestnya Undang-Undang Syariah!: Nafkah Anak