Menjaga emosi ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak tetapi wajib juga kepada orang dewasa supaya orang tidak menjauhi kita hanya kerana kita tak menjaga emosi dengan baik. Untuk kanak-kanak walaupun dia kerap tantrum atau marah atau bergaduh dengan kawan, keesokan harinya dia pasti masih boleh bermain dengan kawan yang sama. Tetapi kalau orang dewasa yang suka marah-marah, pasti orang cuba jauhi supaya tidak menjadi asbab si dewasa marah.
Begitulah dengan anak, kerap marah anak juga boleh mengakibatkan anak berasa tidak selesa.
Ini ada senarai 5 kesan kerap memarahi anak:
Anak Jadi Jauh Hati

Dia akan mudah tersinggung apabila ditegur oleh sesiapa. Rasa seperti semua orang nak marah dia dan beri kritikan atas usahanya. Dia akan mula tidak suka untuk berada bersama ibu atau ayahnya yang sering marah-marah terutama sekali bila kena tinggal berdua.
Anak Jadi Kurang Mesra

Dia akan jadi orang yang tak mudah mesra dengan ibubapa. Sedangkan ikatan baik antara anak dan ibubapa sangat diperlukan untuk memperkukuhkan peribadi kedua-duanya. Anak tak dapat bermanja berlebihan kerana takutkan ibu atau ayah yang mudah meletup marah.
Anak Jadi Kurang Yakin

Dia akan fikir berkali-kali jika nak lakukan sesuatu. Takut dimarah kalau salah, takut ditegur benda remeh pula kalau buat betul. Ini juga mungkin memberi kesan kepada prestasi dia belajar dan ke sekolah. Sentiasa rasa ada saja orang akan memarahi ataupun mengkritik perbuatannya.
Anak Banyak Pendam

Risau jika terlalu kerap dimarah, anak akan memendam semua perasaan yang dia alami dan satu hari meletup sehingga boleh mengakibatkan hal-hal tidak baik seperti mencederakan diri sendiri dan orang sekeliling. Ia juga boleh mengganggu kehidupannya bila dah besar nanti. Menjadi pemarah akibat refleksi daripada layanan yang diterima semasa kecil.
Risiko Anak Jadi Pemarah

Ini yang paling ditakuti. Kalau di rumah kerap dimarahi, takut-takut sifat pemarah itu dibawa keluar sampai beri kesan dalam hubungan anak dengan orang lain. Hal-hal kecil boleh jadi besar dan rumit sehinggakan sukar untuk dikawal. Ditambah juga jika tersilap pilih kumpulan kawan, semakin menjadi-jadi sifat marahnya.
Oleh itu, berpada-padalah dalam membawa marah supaya tak mengganggu perkembangan anak dan untuk kebaikan diri sendiri juga, muka lebih manis dan boleh belajar mengawal sifat marah.
Baca Inspirasi untuk Meninggalkan Marah yang Teruk
Rujukan : 8 Kesan Bahaya Terhadap Anak Jika Kerap Dimarah dan Cara Mengatasinya
Baca artikel lain: