Posted on Leave a comment

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama SYAZMEE SAPIAN

Take 5 Komik Inovasi pendidikan bersama Syazmee Sapian

Bertemu kita kembali dalam siri Take 5! Kali ini tetamu kita merupakan orang yang pasti tidak asing buat pembaca dan pengikut Siri Bestnya. Kerap menulis tentang undang-undang syariah di media sosialnya dan juga berkolaborasi bersama Siri Bestnya dalam menghasilkan komik mingguan tentang undang-undang syariah. Mari ikuti temuramah kali ini bersama tuan SYAZMEE SAPIAN.

1) Boleh tuan perkenalkan diri dan sedikit latar belakang pendidikan dan kerjaya tuan?

Nama saya Muhammad Syazmee Bin Sapian. Anak bongsu daripada 3 orang adik beradik dan sekarang menetap di Gombak. Saya merupakan seorang anak kacukan dimana ibu saya anak kelahiran Penang, manakala ayah saya pula kelahiran Melaka.

PENDIDIKAN

Tadika : Pasti At Tawheed Selayang Baru

Sekolah rendah : Sek Kebangsaan Selayang Baru 1 dan SRA Selayang Baru

Sekolah Menengah : Sekolah Agama Menengah Rawang

Universiti :

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan

Universiti Malaya Kuala Lumpur (Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang)

UITM Shah Alam (Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan)

KERJAYA

Sebaik sahaja tamat pengajian peringkat sarjana muda, saya memulakan kerjaya di salah sebuah firma di Shah Alam sebagai Pelatih Dalam Kamar atau kebiasaannya dipanggil Chambering bagi pelajar undang-undang. Kemudian dilantik sebagai Legal Assistant di firma yang sama. Seterusnya berkhidmat pula di firma guaman yang lain di Cheras sebagai Peguam Syarie.

Apabila sudah stabil dan saya rasakan pada ketika itu sudah sampai masa untuk saya berani bergerak atas kaki sendiri, saya membuka firma guaman sendiri di Gombak pada Mac 2020. Baru buka firma terus PKP.

Alhamdulillah dengan ilmu yang diberikan mentor saya Hafiz Roslan, sehingga sekarang firma guaman masih beroperasi. Struggle itu tetap ada sama sahaja seperti bisnes-bisnes yang lain.

2) Sejak bila tuan mempunyai minat dalam dunia undang-undang? Terutama undang-undang syariah. Mungkin cerita tuan menjadi peguam syariah boleh dijadikan inspirasi buat anak muda yang mempunyai minat kearah yang sama.

Saya mula mempunyai minat untuk menjadi peguam ini sejak Tingkatan 4 selepas menyertai pertandingan Syarahan Bahasa Melayu. Ketika itu saya cuma tahu, kalau mahu jadi peguam kena pandai bercakap dan disebabkan saya memasuki pertandingan syarahan saya rasakan saya mahu menjadi seorang peguam.

Masa itu saya tidak tahu pun rupanya ada dua jenis peguam iaitu Peguam Syarie dan satu lagi Peguam Sivil. Saya cuma tahu, aku nak jadi peguam. Tamat SPM, masa mahu mengisi permohonan UPU, pilihan pertama hingga keempat semuanya saya bubuh pilihan berkaitan undang-undang. Sudah semestinya, pilihan pertama undang-undang di UIA.

Kenapa 4 sahaja pilihan? Bukan ada diberi 8 ke? Ha itulah dinamakan keyakinan. Yakin boleh dapat.

Keluar sahaja result, nah. Maaf anda tidak berjaya.

Pilihan semuanya berkaitan undang-undang sivil yang memerlukan keputusan SPM yang baik dalam Bahasa Inggeris. Kita ni dapat cincau memang tak dapek la. Putus asa juga dan masa itu rasakan sudah tidak ada harapan untuk menjadi peguam.

Kemudian bertanya beberapa orang senior, ada yang menyarankan untuk mengambil syariah di Universiti Malaya. Katanya tamat sahaja asasi syariah nanti, sewaktu sarjana muda boleh memilih jurusan undang-undang.

Ternyata berhasil ikut panduan senior berkenaan.

Saya ikut proses pembelajaran dan masa 4 tahun sarjana muda saya hanya mahu jadi seorang peguam. Minat mendalam untuk menjadi Peguam Syarie bermula bila praktikal di firma guaman.

Terjun dalam realiti rasa seronok bila melihat peguam-peguam syarie membantu menyelesaikan pertikaian pihak-pihak. Sehingga hari ini, setiap hari minat untuk menjadi Peguam Syarie itu semakin bertambah.

3) Buat yang mengikuti karya tuan kolaborasi dalam ‘Bestnya Undang-Undang Syariah’, pasti teruja menunggu update terbaru setiap minggu. Tuan juga pasti mempunyai motivasi yang tinggi dalam melaksanakan konten ini. Soalan kami, mengapa tuan sangat komited dalam mengetengahkan isu ini di media sosial?

Selain daripada pejabat, mahkamah adalah tempat kedua yang hampir setiap hari saya akan pergi. Di situ saya lihat bagi orang awam yang membawa kes sendiri tanpa peguam, ada banyak kelompangan dan ketidak fahaman pada kes mereka sendiri.

Saya ingin bantu banyak orang tapi saya mempunyai kapasiti kemampuan yang terhad. Jadi saya merasakan jika saya tidak mampu membantu membawa kes-kes mereka, saya perlu ikhtiar untuk bantu dari aspek lain.

Saya lihat peguam-peguam yang lain sudah banyak memulakan usaha menulis dan berkongsi tentang hal ehwal perundangan baik sivil mahupun syariah di social media. Tambah pula dengan pandemic Covid-19 yang melanda seluruh Negara sekaligus merubah landskap kearah semua perkara secara maya ataupun digital.

Dari sinilah saya nekad untuk mulakan perkongsian-perkongsian undang-undang dengan penyampaian yang memudahkan orang awam faham dan terus boleh praktis dalam kes ataupun permasalahan mereka.

4) Apa jua kerjaya pasti tak lari dengan cabaran dan halangan, sama juga seperti tuan. Sudahlah sibuk dengan kerjaya hakiki, mahu meneladani hal ehwal media sosial pula. Apakah cabaran terbesar tuan sepanjang karier tuan sebagai peguam syariah?

Cabaran bidang guaman ini banyak dan antara sebab saya minat bidang guaman ini kerana bidang ini memang challenging. Mengendalikan kehendak klien yang pelbagai karenah pun adakalanya mencabar tahap kesabaran apatah lagi bilamana berhubung dengan pihak lawan yang menduga keimanan.

Cabaran terbesar bagi diri saya adalah berhadapan dengan pihak lawan yang menggunakan ilmu-ilmu mistik. Saya pun tidak menjangkakan perkara ini. Sebelum ini hanya dengar cerita-cerita dari peguam senior sahaja. Tapi bila sendiri terkena, fuh memang sangat-sangat merana.

Kita ke mahkamah dengan dengan akta dan enakmen, ada orang ke mahkamah dengan benda-benda tahyul. Namun dengan sokongan keluarga, staff dan rakan-rakan sekeliling Alhamdulillah dengan izin Allah boleh ditangani. Kita perlu yakin dan percaya bahawa tidak ada yang boleh memudhratkan kita melainkan dengan izin Allah.

5) Soalan terakhir mudah saja. Buat yang baru nak ikuti tuan, medium mana satu yang menjadi pilihan tuan? Mana tahu, ada yang mahu berinteraksi dengan tuan dan team untuk perkhidmatan berkaitan perundangan syariah.

Saya lebih gemar dan aktif membuat perkongsian di laman FB saya iaitu Syazmee Sapian.  Selain itu juga boleh juga ikuti aktiviti firma saya di FB PAGE Syazmee Sapian & Associates.

Sekian dahulu untuk TAKE 5! kali ini. Terima kasih kerana membaca. Tunggu tetamu jemputan untuk minggu hadapan pula ya.

Baca sesi Take 5! yang lain di sini:

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama Pelukis Tempatan, NAW LABQI

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama WAWA SHAUQI

Take 5! Wawancara Komik Inovasi Pendidikan bersama IRFAN FONER

Ikuti FB Siri Bestnya untuk membaca KOMIK INOVASI PENDIDIKAN setiap minggu